Jumaat, 27 Ogos 2010

Bagaimana untuk menulis sebuah komik yang baik

Di dalam penulisan sesebuah cerita (khususnya komik), terdapat beberapa aspek yang perlu ditekankan oleh seseorang pengkarya. Berdasarkan pengamatan penulis terhadap budaya penceritaan karya - karya Melayu, sesuatu itu digelar cerita apabila terdapat urutan peristiwa yang bermula daripada pengenalan, klimaks dan peleraian. Jalan cerita seperti ini adalah terlalu biasa dan terasa hambar.
Demi menghasilkan sebuah komik yang baik, pengkarya mesti melakukan lebih daripada itu. Berikut antara aspek - aspek yang difikirkan penulis adalah penting untuk dipertimbangkan:

Tema
  • Satu tema utama sudah memadai. Pemilihan tema adalah bergantung kepada daya imaginasi dan kreativiti pengkarya tetapi mestilah bertepatan dengan keperluan sosial masyarakat pada masa sekarang. Satu helah berkesan yang sering digunakan oleh pengkarya - pengkarya luar untuk memancing pembaca adalah penggunaan tema kemanusiaan dan psikologikal. Tema - tema seperti ini adalah sangat laris dan tidak mempunyai tarikh lapuk (pembacanya adalah manusia itu sendiri).
Plot
  • Plot yang baik akan menghasilkan cerita yang baik. Di kebanyakan karya, penulis melihat pengkarya cuma sekadar touch and go sahaja meskipun bagi penulis, plot tersebut boleh memberikan impak yang besar kepada pembaca. 
  • Adalah perlu diingat bahawa pembaca amat tidak sukakan penamat yang hambar. Selepas mengikuti perjalanan cerita dengan begitu lama, penamat yang tawar boleh dianggap sebagai sangat mengecewakan. Oleh itu, konsistensi  tarikan perjalanan cerita dalam setiap peringkat mestilah dititikberatkan dan tidak hanya tenggelam timbul seperti beberapa karya yang pernah diikuti penulis.
  • Seperti yang disebut penulis, plot yang disusun mengikut kronologi adalah sangat biasa. Ia samalah seperti melihat sekuntum bunga yang mekar pada sebelah pagi dan kuncup di petang hari. Semuanya sudahpun diketahui umum. Tidak bersalahan sekiranya memulakan penceritaan daripada klimaksnya terlebih dahulu. Ini akan membuat para pembaca diterpa seribu persoalan. Persoalan - persoalan seperti apa, kenapa, bagaimana, bila dan mengapa perlulah disimpan penulis sebagai rujukan untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan pembaca.
Watak
  • Rekaan watak yang cantik dan kacak adalah penting. Bagaimanapun, kestabilan sesebuah cerita adalah jauh lebih penting. Dalam kebanyakan drama Melayu, seorang watak kampung akan mengenakan mekap yang tebal sehingga menimbulkan rasa janggal kepada penonton. Perkara yang sama turut berlaku kepada komik. Watak - watak di dalam komik dihiasi dengan personaliti yang menurut penulis begitu sukar untuk ditemui di dunia realiti sehingga menimbulkan rasa loya pada pembaca. Jadikanlah watak itu 'semanusia' mungkin. Di sinilah pentingnya bermain dengan psikologi. Seseorang watak yang happy go lucky tidak akan sentiasa berasa gembira sepanjang perjalanan cerita.
  • Tidak ada manusia yang benar - benar sama. Aplikasikannya ke atas watak - watak yang dihasilkan. Apabila personaliti setiap watak bertindih, ia menyebabkan cerita menjadi kelam - kabut. Bezakan watak dengan satu personaliti yang benar - benar menggambarkan diri mereka. Antara kelebihan teknik ini ialah kewujudan dan ketiadaan sesuatu watak itu akan lebih dirasai oleh para pembaca.
Dialog
  • Dialog adalah perkara terbesar yang akan mewakili isu yang dibawa pengkarya. Pengkarya perlu sedar bahawa setiap butir dan tutur kata akan mencerminkan sesuatu watak itu. Sebagai contoh, unsur penegasan di dalam kata - kata seorang pahlawan, kelembutan di dalam kata - kata seorang wanita. Namun begitu, tidak salah untuk mencuba sesuatu yang baru di dalam bereksprementasi dengan karya.
Antara tips lain yang boleh diambil berat ialah:

Jangan manjakan pembaca
  • Biarkan mereka berfikir dengan sendiri tentang sesuatu isu di dalam karya. Kebanyakan penulis begitu berterus terang dan menyuapkan sepenuhnya kepada pembaca menyebabkan tidak timbul lagi unsur suspen atau kejutan. Pembaca mahu berasa intelek apabila membaca sesuatu karya dan menjadi kebanggaan bagi mereka apabila andaian yang dibuat adalah seperti yang berlaku dalam cerita. Sebaliknya karya yang mendedahkan semuanya akan menjadi kebosanan dan tidak menarik hati para pembaca.

*Adalah semata - mata buah fikiran penulis melalui pemikiran kritis dan pengalaman selama bertahun - tahun dalam mengkaji perbandingan komik tempatan dengan komik luar~

Masa Depan Komik Malaysia

Di samping sedang meneruskan pelajarannya di Universiti Malaysia Sabah, Mimpi kini aktif dalam menulis dan melukis komik yang merupakan minatnya sejak kecil lagi. Sehingga sekarang, Mimpi sudah pun menulis lebih daripada 20 buah komik yang merangkumi genre seram, aksi dan cinta. Beliau juga telah pun menyiapkan beberapa komik - komik pendek (termasuk lukisannya sekali). Antaranya ialah:
  •   Aku Benci Perempuan Cantik
  •   Pertemuan VS Perpisahan
Terdapat juga beberapa projek mega yang sedang dijalankan oleh Mimpi yang dijangkakan akan menjadi debut sulungnya nanti.
  • Houdoqin (mula ditulis sejak Mimpi berada di tingkatan 4 lagi. Jalan ceritanya bukanlah daripada Mimpi sepenuhnya tetapi merupakan perkongsian buah fikiran daripada seorang rakan yang menaruh kepercayaan kepada Mimpi untuk menghasilkannya. Houdoqin telah melalui 4 kali proses penambahbaikan di mana Mimpi terpaksa menulisnya dari mula setiap kali diperbaiki demi mendapatkan jalan cerita yang paling baik. Sehingga kini, Houdoqin masih dalam pengawasan dari masa ke semasa. Genre - aksi, cinta, humor, kemanusiaan)
  • One - Ophekaien (senario di sebuah sekolah tinggi di mana para pelajarnya menuntut dengan penuh semangat dan berdaya saing. Kelainan cerita ini ialah melalui pendekatan yang digunakan oleh Mimpi dalam membandingbezakan setiap bakat dan perbezaan personaliti individu dalam mewujudkan situasi yang menarik. Merupakan sebuah sekuel dan One - Ophekaien sudah pun sudahpun dihabiskan penulisannya. One - Ophekaien II pula masih dalam perancangan. Genre - aksi, cinta, humor, akademik)
Antara lain komik - komik Mimpi ialah:
  • Aku Bukan Suka Kau
  • Raijin
  • Love By My Side
  • Pantang Larang
  • Hero Kampung
  • Seven Sworders
  • Ketawa-jer
Salah satu fokus utama Mimpi dalam projek ini ialah untuk memartabatkan komik Malaysia sehingga mampu berdiri setanding dengan komik - komik luar sekaligus mengurangkan kebergantungan para peminat komik kepada karya - karya luar yang pada dasarnya tidaklah begitu jauh meninggalkan komik tempatan dari segi penceritaannya~