Sabtu, 31 Ogos 2013

Kelahiran Freedom Landscape

Selepas begitu lama tidak melakukan penambahbaikan ke atas FL, rasanya entri terbaik adalah dengan memberikan gambaran penuh tentang apa itu FL sebenarnya. Adakah ia sama dengan FB iaitu Facebook? Jika ya, mungkinkah nama penuhnya adalah Facelook?

Tentu sekali tidak. FL adalah akronim bagi Freedom Landscape. Kalau ia perlukan pengelasan, maka bolehlah kelaskannya sebagai satu kumpulan atau pertubuhan. Atau persatuan. Tapi tidaklah sama seperti Persatuan Bulan Sabit Merah mahupun kumpulan-kumpulan kaki gaduh bawah jambatan. Malah bagi pengasasnya sendiri, FL adalah satu ideologi.

Sebuah ideologi tentang pengamalan kesenian bagi para pendukungnya. Freedom yang membawa makna bebas adalah terma terbaik untuk menerangkan kebebasan setiap orang untuk mengamalkan seni yang mereka miliki. Sesuai seperti kata Aristophanes,The Wasps_1.1431 yang berbunyi, 'Let each man exercise the art he knows.'

Memang betul. Setiap manusia mempunyai seni di dalamnya. Pandangan biasa akan kata golongan pandai nyanyi, lukis, tulis, atau lakon sebagai orang seni. Dan mereka ini disanjungi atas bakat tersebut. Tidak banyak orang disanjungi atas kebolehannya mengait jala atau menganyam ketupat sedangkan ianya lebih sukar berbanding menyanyi (suruh Neko kalau tidak percaya). Ya. Golongan pandai nyanyi itu menghiburkan dan lebih cenderung untuk dikasihi. Tapi para penyanyi masih perlu makan ikan yang ditangkap oleh jala pak cik nelayan di hujung muara sungai sana.  Semuanya saling berkait dan bergantung antara satu sama lain. Atas nama seni.

Landscape adalah landskap. Membawa pengertian kepada ruang atau persekitaran. Secara literal, FL adalah sebuah suasana di mana orang-orang dapat berekspresi secara gembira dengan seni yang mereka miliki.

Visi pengasasnya terhadap FL adalah sangat besar. Ia tidak hanya ideologi semata-mata tetapi sebagai satu komuniti. Komuniti yang besar dan kuat sehingga mampu mengubah trend dan hala tuju industri kreatif negara yang dipenuhi kritik dan kontroversi ke satu kelas yang lebih baik.

Maka bersenilah. Dengan berseni, kita juga akan lebih dekat kepada Maha Pencipta. Kewujudan kita sendiri adalah bukti keagungan seni yang dimiliki-Nya. Berseni tidak akan menjadikan kita bongkak jika kita sedar yang kita tidak pernah mencipta sesuatu. Apa yang kita hasilkan tidak lebih daripada manifestasi kehebatan Tuhan sekalian alam.

Be Cool. Be Artist.