Selepas begitu lama tidak melakukan penambahbaikan ke
atas FL, rasanya entri terbaik adalah dengan memberikan gambaran penuh tentang
apa itu FL sebenarnya. Adakah ia sama dengan FB iaitu Facebook? Jika ya,
mungkinkah nama penuhnya adalah Facelook?
Tentu sekali tidak. FL adalah akronim bagi Freedom
Landscape. Kalau ia perlukan pengelasan, maka bolehlah kelaskannya sebagai satu
kumpulan atau pertubuhan. Atau persatuan. Tapi tidaklah sama seperti Persatuan
Bulan Sabit Merah mahupun kumpulan-kumpulan kaki gaduh bawah jambatan. Malah
bagi pengasasnya sendiri, FL adalah satu ideologi.
Sebuah ideologi tentang pengamalan kesenian bagi para
pendukungnya. Freedom yang membawa makna bebas adalah terma terbaik untuk
menerangkan kebebasan setiap orang untuk mengamalkan seni yang mereka miliki. Sesuai
seperti kata Aristophanes,The Wasps_1.1431 yang berbunyi, 'Let each man exercise the art he knows.'
Memang betul. Setiap manusia mempunyai seni di dalamnya.
Pandangan biasa akan kata golongan pandai nyanyi, lukis, tulis, atau lakon
sebagai orang seni. Dan mereka ini disanjungi atas bakat tersebut. Tidak banyak
orang disanjungi atas kebolehannya mengait jala atau menganyam ketupat
sedangkan ianya lebih sukar berbanding menyanyi (suruh Neko kalau tidak percaya). Ya. Golongan pandai nyanyi itu
menghiburkan dan lebih cenderung untuk dikasihi. Tapi para penyanyi masih perlu
makan ikan yang ditangkap oleh jala pak cik nelayan di hujung muara sungai sana. Semuanya saling berkait dan bergantung antara
satu sama lain. Atas nama seni.
Landscape adalah landskap. Membawa pengertian kepada
ruang atau persekitaran. Secara literal, FL adalah sebuah suasana di mana
orang-orang dapat berekspresi secara gembira dengan seni yang mereka miliki.
Visi pengasasnya terhadap FL adalah sangat besar. Ia
tidak hanya ideologi semata-mata tetapi sebagai satu komuniti. Komuniti
yang besar dan kuat sehingga mampu mengubah trend dan hala tuju industri
kreatif negara yang dipenuhi kritik dan kontroversi ke satu kelas yang lebih
baik.
Maka bersenilah. Dengan berseni, kita juga akan lebih dekat
kepada Maha Pencipta. Kewujudan kita sendiri adalah bukti keagungan seni yang
dimiliki-Nya. Berseni tidak akan menjadikan kita bongkak jika kita sedar yang
kita tidak pernah mencipta sesuatu. Apa yang kita hasilkan tidak lebih daripada
manifestasi kehebatan Tuhan sekalian alam.
Be Cool. Be Artist.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan