Isnin, 2 September 2013

Karya Televisyen Malaysia dan Kritiknya.


Sama ada drama, drama bersiri, telefilem atau filem, karya televisyen Malaysia sentiasa bergelumang dengan kritik. Sejak dari dulu. Namun jika digrafkan dalam bentuk perbandingan, kritik ke atas karya klasik atau filem dulu-dulu tidaklah sekontroversi seperti senario industri yang sama pada hari ini. Kalau dahulu, kita ada karya-karya Seniman Agung, Si Genius Seni yang sentiasa relevan sepanjang zaman. Dan sedikit filem yang bukan buatannya tapi agak bermutu seperti filem Hang Jebat lakonan hebat Seniman Nordin Ahmad. Susun atur dialog yang indah dan penyampaian watak yang berkesan menjadikan filem tersebut sebagai antara filem terbaik negara dalam senarai FL.

Pada hari ini, di sebalik arus kemodenan yang kononnya semakin maju, ada saja yang tidak kena dengan karya televisyen tanah air. Tidak perlu bercakap tentang sekatan dan polisi penapisan yang ada. Ekspresi keterlaluan, dialog ‘sengal’ dan termasuklah penataan visual pada para pemain (mekap tebal bagi watak orang kampung atau watak sedang solat. Lepas wudhu, boleh sempat touch-up lagi ke Jah??) adalah kritik yang biasa. Kemudian tema cerita. Tema kekeluargaan, perebutan harta, si jahat yang insaf, hantu, dan komedi berslapstik. Ini sajalah kisah yang akan dihidangkan kepada penonton sedangkan di Hollywood, sebuah kereta api yang bergerak sudah cukup untuk mengisi durasi 2 jam tayangan dan tetap diterima. Isunya adalah, kekerapan penggunaan tema tersebut menjadikan penonton dapat meneka keseluruhan perjalanan cerita seawal minit tayangan. (Bagi penulis, mengetahui pengarahnya saja sudah cukup memberikan gambaran lengkap tentang cerita yang dipertontonkan. Boleh dapat tak kesan pelazimannya di situ?) Bukankah ia kelihatan bodoh dan tidak berguna?

Tidaklah semua begitu. KRU adalah contoh pembikin yang dipuji FL kerana sentiasa membawa pembaharuan dalam setiap karya mereka.

FL sedar dilema industri tanah air. Ia dapat dilihat dalam bentuk interaksi begini:
Pembikin: Kamu cuma nak cerita gaduh-gaduh, hantu, cintan-cintun, dan lawak. Sebab tulah kami bagi itu saja. Kalau kami buat genre lain kamu tak tengok, tak guna juga.
Penonton: Kalau kualitinya bagus, kami tengok juga. Buatlah dulu. Kalau bagus tentu kami layan punyalah.
Pembikin: Sekatan kewangan pula masalah. Untuk buat karya yang baik, banyak belanja diperlukan. Kalau dah berbelanja sakan bikin, lepas tu tak dapat pulangan yang disasarkan...siapa nak tanggung kerugian tu?
Penonton: (angkat bahu)
Pencetak rompak: Karya buruk atau karya berkos tinggi, yang kaut keuntungannya tetap kami. Sori to say....

Bercakap tentang kritik, isu yang paling segar bagi FL adalah pada Anugerah Lawak WARNA  yang diadakan baru-baru ini. Malam penganugerahan itu menyaksikan Istanbul Aku Datang mengaut semua kategori yang mencalonkannya termasuklah Anugerah Artis Wanita Komedi Terbaik. Lisa itu baik. Dan Comel. Seronok tengok dia berlakon. Tapi itu tidak melayakkannya untuk dinobatkan menjadi artis komedi terbaik di dalam filem yang menurut FL, bukannya filem lawak pun. Bukan salah Lisa. FL suka Lisa. Perkara pokoknya ialah IAD tidak sepatutnya disenaraikan langsung dalam sebarang pencalonan anugerah tersebut. Sedikit jenaka yang diselitkan bukan bererti ia adalah filem komedi. Kejanggalan yang menjadikan para pembikin tegar filem komedi seperti Afdlin Shauki dan Mamat Khalid seolah-olah tidak dihargai. Dua pengarah besar ini adalah antara sedikit pengkarya yang dipandang tinggi oleh FL di Malaysia kerana hasil kerja mereka dan secara peribadi, FL beranggapan malam anugerah itu adalah malam untuk mereka berdua. Termanya adalah LAWAK. Bukankah?

Karya yang baik tidak semestinya mahal. Mentaliti. Asas yang paling asas. Banyak elemen yang perlu dibuang dan banyak elemen yang perlu ditambah dalam rencah industri karya televisyen tanah air agar lebih berperisa dan sedap untuk disantap.


*Ditulis sepenuhnya berdasarkan pendapat peribadi penulis. Tidak melibatkan mana-mana pihak ketiga sama ada yang disebut di dalam penulisan atau pun tidak. FL suka Lisa. Be Cool. Be Artist!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan